PUTRAJAYA, 25 MEI – 172 kes positif baharu COVID-19 dicatat pada hari ini, ini menjadikan jumlah kes terkumpul virus berkenaan di Malaysia adalah sebanyak 7,417 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes aktif COVID-19 adalah sebanyak 1,323 kes.

“Ingin dimaklumkan daripada 172 kes baru yang dilaporkan, 5 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara. 

“Daripada 167 kes penularan tempatan, 159 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 112 kes telah dikesan di tiga Depot Tahanan Imigresen (DTI). Rakyat tempatan yang dikesan positif COVID-19 adalah seramai 8 kes hari ini. 

“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana depoh-depoh Imigresen ini merupakan tempat yang terasing daripada masyarakat umum dan dikawal oleh pihak berkuasa,” ujar beliau dalam sidang media pada hari ini.

Setakat hari ini, seramai lapan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Empat kes daripada jumlah tersebut memerlukan bantuan pernafasan. 

Beliau turut memaklumkan, 34 kes dilaporkan telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar hospital.

“Ini menjadikan jumlah terkumpul kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah dibenar keluar daripada wad adalah sebanyak 5,979 kes,” tambah beliau.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, tiada kes kematian COVID-19 dilaporkan pada hari ini.

“Ini menjadikan jumlah terkumpul kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes,” ujar beliau.