KUALA LUMPUR, 25 MEI – Polis Diraja Malaysia semalam telah mengeluarkan sebanyak 383 kompaun terhadap orang ramai yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika sambutan hari pertama Aidilfitri.

Menurut PDRM, kompaun itu membabitkan percubaan untuk merentas sempadan negeri, beraya di kampung halaman serta orang berhari raya dalam satu rumah melebihi jumlah yang ditetapkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihak polis tidak akan berdiam diri walaupun semalam adalah hari pertama Aidilfitri dan tetap mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan pelanggaran SOP.

Daripada jumlah itu, sebanyak 214 kompaun dikeluarkan dalam sekatan jalan raya dan 14 kompaun terhadap mereka yang berhari raya di kampung halaman.

“Ramai yang tidak percaya polis akan tetap mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar SOP khususnya pada hari raya dan ini dibuktikan 14 kompaun yang dikeluarkan itu adalah kepada mereka yang sudah berada di kampung halaman dan tidak mendapat kebenaran pulang.

“Apabila saya katakan, kami serius akan mengambil tindakan, ramai yang mengambil ringan,” ujar beliau dalam sidang media hari ini.

Semalam PDRM telah menahan 470 individu dimana 87 individu telah direman dan 23 individu dijamin atas kesalahan melanggar SOP. PDRM turut mengeluarkan kompaun kepada 383 individu atas kesalahan melanggar SOP.

Ismail Sabri juga berkata, sebanyak 1,243 kenderaan cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung halaman dan ia tinggi berbanding 1,158 kenderaan pada hari sebelumnya.

“Negeri yang mencatatkan cubaan rentas negeri untuk pulang ke kampung tertinggi adalah Selangor iaitu 685 kenderaan, Negeri Sembilan (133) dan Pahang (72),” ujar beliau.