KUALA LUMPUR, 25 MEI –  Sebuah kuil di Seri Kembangan semalam dipercayai telah menganjurkan satu satu upacara perkahwinan. Penganjur dan orang ramai yang telah hadir ke majlis perkahwinan tersebut akan diambil tindakan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata aktiviti majlis perkahwinan yang diadakan itu jelas telah melanggar arahan yang ditetapkan kerana kebenaran aktiviti rumah ibadat bukan Islam hanya bermula pada 10 Jun ini.

“Mereka jelas melanggar undang-undang dan saya difahamkan, polis sedang mengambil tindakan kepada penganjur serta mereka yang hadir,” ujar beliau.

Menurut beliau, kebenaran untuk rumah ibadat beroperasi sudah ditetapkan dan dilakukan melalui perbincangan dan persetujuan Kementerian Perpaduan Negara bersama pemimpin agama yang terbabit.

“Kita benarkan hanya bermula 10 Jun ini dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat iaitu tidak melebih 30 orang sahaja.

“Ini sudah dimaklumkan kepada semua dan sudah dinyatakan kepada pemimpin agama berkenaan, yang dibenarkan adalah upacara keagamaan pada hari penting sahaja seperti jika agama Kristian, hari Ahad sahaja,” ujar beliau.