PUTRAJAYA, 26 MEI – Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini melaporkan terdapat sebanyak 187 kes baharu COVID-19 dengan 155 kes daripadanya adalah dari Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kes baharu tersebut menjadikan jumlah terkumpul kes COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,604 kes.

Beliau berkata, sebanyak 62 kes pulih sepenuhnya telah dicatatkan pada hari ini dan tiada pertambahan kes kematian dilaporkan dan jumlahnya kekal sebanyak 115 kes.

Menurut beliau, selain kes di DTI berkenaan, sebanyak 10 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu tujuh warganegara Malaysia dan tiga pemastautin tetap serta pasangan kepada warganegara Malaysia, manakala 13 kes lagi ialah menerusi kluster pengawal keselamatan Cheras.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,448 kes, mereka kini sudah diasingkan dan diberi rawatan. Sehingga kini, seramai lapan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Daripada jumlah berkenaan, seramai lima individu masih memerlukan bantuan pernafasan. Selain itu, bagi kes kematian pula, hari ini tiada pertambahan kes kematian disebabkan oleh COVID-19, justeru jumlah kumulatif kes kematian di negara ini kekal sebanyak 115 kes atau 1.51 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” ujarnya pada sidang media pada hari ini.