PUTRAJAYA, 26 MEI – Kerajaan Malaysia hari memaklumkan tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana kumpulan hak asasi manusia yang mendakwa tindakan penahanan pendatang asing tanpa izin sebagai diskriminasi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yakkob berkata, kumpulan hak asasi manusia perlu tahu yang bahawa PATI memasuki negara ini secara haram dan mereka wajar dikenakan tindakan undang-undang.

“Saya tidak tahu jika ada mana-mana negara (di dunia) yang membenarkan mereka (PATI) yang masuk ke dalam negara itu tanpa dokumen yang sah bergerak dengan bebas.

“Walau apa alasan yang diberikan oleh kumpulan yang menentang tindakan kerajaan ini, kita tidak akan tunduk kepada mereka kerana tindakan kita adalah untuk menjaga kepentingan dan keselamatan rakyat kita,” ujar beliau pada sidang media pada hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya berkenaan dakwaan kumpulan hak asasi manusia yang mengatakan penahanan PATI sebagai mencabuli hak asasi manusia. 

Beliau turut berkata, kumpulan tersebut  seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan yang melakukan ujian saringan COVID-19 terhadap PATI.

“Kalau PATI ini tidak ditangkap sedangkan mereka positif COVID-19, tentulah mereka menjadi golongan yang menyebarkan jangkitan ini kepada rakyat kita yang tidak bersalah,” ujar beliau.