PUTRAJAYA, 26 MEI – Polis Diraja Malaysia semalam telah mengeluarkan sejumlah 31 kompaun terhadap individu yang melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atas kesalahan menziarah sempena Aidilfitri.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 31 kompaun tersebut adalah sebahagian daripada jumlah 102 kompaun yang telah dikeluarkan oleh pihak polis seluruh negara dengan keseluruhan kompaun dikeluarkan terhadap individu adalah sebanyak 387 kes.

Beliau berkata, 285 kompaun dikeluarkan oleh polis sewaktu mengadakan pemeriksaan dan pemantauan di lapangan, manakala 194 kompaun dikeluarkan menerusi sekatan jalan raya.

“Saya tahu mungkin ramai beranggapan tindakan PDRM memberi kompaun atas kesalahan ziarah Aidilfitri agak keras.

“Bagaimanapun, penguatkuasaan undang-undang oleh PDRM adalah susulan daripada keputusan kerajaan yang sudah memberi berbagai amaran sebelum tindakan diambil.

“Dari aspek positif, daripada keseluruhan rakyat Malaysia hanya 102 individu dikenakan kompaun kerana mengingkari pematuhan standard prosedur operasi (SOP) PKPB dan jumlah itu membuktikan majoriti rakyat Malaysia sentiasa mematuhi SOP ditetapkan,” ujar beliau pada sidang media di sini pada hari ini.