KUALA LUMPUR, 26 Mei – Pakatan Harapan diminta tidak bertanding di Pilihan Raya Kecil DUN Chini jika tidak mahu malu besar kerana tidak mampu mencabar kekuatan Muafakat Nasional.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Mustapha Yaakub berkata ini kerana PH tidak mempunyai kemampuan untuk menandingi kekuatan gabungan BN dan PAS.

“Sesungguhnya Chini telah sekian lama menjadi kubu kuat BN. Bagaimanapun kewujudan rancangan tanah Felda di Chini menjadikan PAS bertapak kuat di kawasan ini dan menjadi musuh utama BN.

“Dengan wujudnya MN maka Chini sudah pasti milik BN/MN dan PH akan sekali lagi mendapat malu besar terutama dalam suasana politik hari ini. Gabungan undi BN dan PAS tidak mungkin dicabar oleh PH,” ujar beliau dalam satu kenyataan pada hari ini.

Menurut beliau, pada PRU14 yang lepas, UMNO menang kerusi tersebut dengan mudah walaupun telah dicabar oleh PAS dan PH.

“Adalah wajar bagi PH untuk memberi laluan percuma kepada UMNO kerana ia boleh menyelamatkan perbelanjaan SPR. Ia juga dapat membantu kerajaan di dalam usaha melawan Covid-19,” ujar beliau