JOHOR – Kenyataan Media Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad serta Naib Presiden PAS yang memandang serius kes pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut disokong penuh oleh Pusat Aduan Rakyat (PAR) Johor.

Menurut Pengerusi Pusat Aduan Rakyat (PAR) Negeri Johor, Azman Atmin, cadangan penggantungan pengeluaran, perniagaan dan penjualan arak serta penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet melibatkan beberapa kementerian untuk bertindak segera menangani kes ini wajar ditekankan demi menunjukkan komitmen sebagai sebuah Kerajaan yang Prihatin terhadap kesejahteraan rakyat negara ini.

Sehubungan itu, Jabatan Kastam dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut digesa mengambil tindakan tegas menggantung semua lesen penjualan arak dan minuman beralkohol yang dijual secara terbuka dirangkaian kedai serbaneka. Walaupun mungkin memberi kesan kepada pendapatan daripada lesen tersebut, namun akibat buruk daripada bahana arak ini jauh lebih memudaratkan.

PAR Negeri Johor memandang serius setiap nyawa yang terkorban akibat daripada bahana arak ini serta menegaskan bahawa nilaian korban mangsa yang tidak berdosa ini bukan percuma.

Sebagaimana Kerajaan Malaysia serius menangani penularan pandemik Covid-19 demi kesihatan dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia, usaha menghalang kesan buruk daripada pemandu mabuk ini juga harus dipandang serius demi keharmonian negara secara amnya.