KUALA LUMPUR, 28 MEI – Blogger Pakatan Harapan, Shahbudin Husin memberitahu bahawa Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendapat sokongan yang cukup untuk membentuk Kerajaan Pakatan Harapan semula.

Shahbudin memberitahu melalui satu hantaran di laman Facebooknya.

“Nombor sudah ada, calon PM pun sudah dipersetujui…bye bye Muhyiddin!!!,” tulisnya ringkas.

Blogger Raja Petra Raja Kamarudin turut memberitahu perkara yang sama.

“Menurut Shahbudin Husin, Tun Mahathir Mohammad telah mempunyai sokongan 129 ahli parlimen dan akan mohon untuk mengadap Agong dalam masa terdekat untuk mempersembahan jumlah sokongan serta memohon untuk mengangkat sumpah sebagai PM ke 9. Anwar akan kekal sebagai bakal perdana menteri,” ujarnya.

Sebelum ini Shahbudin turut memaklumkan gabungan Mahathir-Anwar hanya menunggu masa untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengakuan sokongan mereka itu sudah sedia ada di tangan Tun Mahathir dan Anwar serta hanya menunggu masa, seawalnya dalam Sidang Parlimen 13 Julai nanti untuk ia dibuktikan.

“Awas Muhyiddin, masa kejatuhan kerajaan tebuk atap ini akan tiba tidak lama lagi,” tulisnya.

Kerajaan Pakatan Harapan telah tumbang pada Februari lalu setelah Tun Mahathir mengumumkan perletakan jawatan sebagai perdana menteri.

Susulan daripada itu Bersatu dan beberapa ahli parlimen PKR pimpinan Azmin Ali mengumumkan keluar daripada PH.

Yang Di Pertuan Agong kemudiannya mengadakan pertemuan dengan semua ahli parlimen sebelum berkenan melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri ke 8.

Kerajaan Perikatan Nasional ditubuhkan melalui gabungan Bersatu dengan Barisan Nasional, GPS dan PAS.