KUALA LUMPUR, 28 MEI – Dunia politik Malaysia kembali menjadi hangat dengan satu khabar angin mengenai ‘Perubahan Besar’ dikhabarkan akan berlaku pada Julai nanti.

Sinchew Daily melaporkan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sedang merancang strategi untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional, dan beliau sekarang hanya memerlukan tiga wakil rakyat untuk mencapai hasrat tersebut.

Khabar angin mengatakan Dr. Mahathir sudah berjaya menarik tiga wakil rakyat yang diperlukan untuk menyokongnya, malahan tiga wakil rakyat tersebut  dikatakan berstatus menteri dan timbalan menteri.

“Wakil rakyat ini tidak berpuas hati kerana Perikatan Nasional kekurangan hala tuju politik dan tidak menegaskan kerajaan yang bersih,” kata sumber.

Pada masa itu, Dr. Mahathir sedang berbincang dengan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, termasuk mempertimbangkan melantik Ketua Menteri Sabah itu sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya berjaya menawan semula Putrajaya.

“Setakat ini, Dr. Mahathir masih mahu menjadi Perdana Menteri dan beliau tidak memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri,” kata sumber lagi.

Menurutnya, sokongan terhadap Dr. Mahathir telah mencapai 112 yang diperlukan kerana selain 92 kerusi Pakatan Harapan, beliau turut mendapat sokongan lima penyokong daripada Bersatu, Warisan (sembilan), UPKO (satu), selain sokongan Ahli Parlimen Sri Aman dan Selangau di Sarawak serta tambahan tiga orang baharu.

Katanya, Dr. Mahathir pada masa yang sama juga sedang berusaha menarik lebih banyak wakil rakyat untuk menyokongnya.

Walau bagaimanapun, Dr. Mahathir juga perlu mendapat sokongan Anwar termasuk perlu bertoleransi dalam hal tertentu.