KUALA LUMPUR, 29 MEI – Tun Dr Mahathir memaklumkan jawatan Setiausaha Kerja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tiada dalam perlembagaan parti dan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memecat ahli Bersatu.

Menurut beliau, pemecatan beliau dan empat lagi pemimpin parti semalam adalah satu perkara luar biasa dan mengatakan keputusan tersebut tidak sah.

“Tiba-tiba semalam saya dapat surat setiausaha kerja pecat saya, pengerusi boleh kena buang oleh setiausaha kerja,” ujar beliau pada satu sidang media di ibu pejabat Bersatu di Menara Yayasan Selangor, di sini hari ini.

Dr Mahahtir berkata beliau juga telah membuat keputusan untuk memecat Muhammad Suhaimi sebagai setiausaha kerja Bersatu dan melantik Datuk Sazmi Miah berkuat kuasa hari ini. 

Sementara itu, mengulas mengenai status jawatannya di parti itu, Dr Mahathir berkata beliau masih lagi pengerusi Bersatu yang sah.

“Saya masih pengerusi kerana apabila mereka cuba mengeluarkan saya, ia tidak sah,” katanya

Semalam, keahlian Dr Mahahthir dan empat pemimpin lagi dihentikan serta-merta kerana mereka menyertai blok pembangkang semasa sidang Parlimen baru-baru ini.