PUTRAJAYA, 30 MEI- Kerajaan akan memberi perhatian serius dan akan mengambil tindakan tegas berhubung kes kemalangan maut pengguna jalan raya membabitkan pemandu mabuk yang semakin bertambah bilangannya mutakhir ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Takiyuddin Bin Haji Hassan berkata, langkah segera akan dilaksanakan untuk memastikan cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang dimuktamadkan oleh Kementerian Pengangkutan dibawa dan dibentang ke persidangan Parlimen nanti.

Menurut beliau, pindaan yang telah dibuat bukan sahaja membabitkan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian  tetapi juga untuk yang memandu bawah pengaruh minuman yang memabukkan, walaupun tidak terlibat dalam apa-apa kemalangan.

“Kerajaan juga amat menyokong cadangan Kementerian Pengangkutan untuk menetapkan hukuman penjara mandatori ke atas pemandu yang ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk (Seksyen 45) mengikut peruntukan sedia ada masih merupakan kuasa budi bicara (discretionary power) mahkamah.

“Dengan meningkatkan kadar denda dan hukuman penjara, Jabatan Peguam Negara, selepas pindaan dibuat, boleh mendakwa pesalah di Mahkamah Sesyen yang mempunyai bidang kuasa yang lebih tinggi” ujar beliau dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau berkata lagi, pihak kerajaan akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara supaya kes yang melibatkan kematian angkara pemandu mabuk turut disiasat dan dituduh mengikut Kanun Keseksaan, termasuk Seksyen 302, iaitu menyebabkan kematian dengan sengaja ataupun Seksyen 307, iaitu cubaan membunuh dengan niat.

Di samping itu, pihak polis juga perlu membantu keluarga mangsa kemalangan maut akibat pemandu mabuk, terutama bagi membolehkan mereka membuat tuntutan sivil di mahkamah sebagai hak mereka di sisi undang-undang.

Meskipun kerajaan bertegas dalam isu kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk, ia tidak bermakna kerajaan menafikan hak orang bukan Islam untuk meminum minuman keras. Mereka bebas berbuat demikian, selagi mematuhi segala peruntukan undang-undang yang berkaitan dengannya.