KUALA LUMPUR, 31 MEI – Kerajaan sedang merancang penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Pelaksanaan Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan COVID-19 dan mengalu-alukan orang ramai memberi cadangan dan saranan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata penggubalan RUU itu membuktikan bahawa pihak kerajaan komitmen untuk mengurangkan impak penularan wavaj COVID-19 yang memberi kesan kepada ekonomi dan sosial kepada rakyat dan industri di Malaysia.

“Selari dengan keputusan Mesyuarat Penggubalan RUU Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan COVID-19 pada 28 Mei lalu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) selaku penyelaras langkah penggubalan ini telah menyediakan pautan bagi sesiapa yang mempunyai saranan atau cadangan untuk RUU tersebut.

“Perlu diingatkan, segala cadangan untuk dimasukkan dalam RUU ini hendaklah berbangkit daripada kesan penularan wabak COVID-19 dan mempunyai impak terhadap perniagaan, firma termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan rakyat secara keseluruhan,” ujar beliau dalam satu kenyataan semalam.

Kesemua pemegang taruh termasuk organisasi masyarakat sivil (CSO) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu dan pihak berkepentingan boleh berbuat demikian menerusi http://www.bheuu.gov.my/index.php/ruu-covid19 sebelum atau pada 5 Jun ini.