ALOR SETAR – Parti Komponen dalam Perikatan Nasional telah bersetuju untuk menubuhkan majlis tertinggi dinamakan Majlis Presiden PN bagi menentukan hala tuju politik yang lebih baik.

Perkara itu telah dimaklumkan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang memberitahu bahawa kesemua parti sebulat suara bersetuju dengan majlis tersebut yang dianggotai oleh presiden-presiden parti.

“Alhamdulillah, saya nak maklumkan sedikit bahawa kita telah ada majlis tertinggi iaitu Majlis Presiden PN.

“Kita telah setuju, yang pertama wujudkan Majlis Presiden, yang mana melibatkan semua presiden-presiden parti,” ujar beliau pada sidang media selepas melawat Menteri Besar Kedah baharu, Muhammad Sanusi Md Noor di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Berkenaan krisis kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tuan Ibrahim secara prinsipnya melihat isu tersebut tidak sesekali menjejaskan hubungan antara parti dalam PN.

Apa yang penting katanya, kesemua parti juga turut bersetuju akan memberi keutamaan terhadap sebarang perkara melibatkan pentadbiran kerajaan Pusat dan negeri berbanding isu politik, apatah lagi dalam keadaan negara berdepan situasi koronavirus (Covid-19).

Beliau berkata, ia juga selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu merasmikan Parlimen baru-baru ini supaya mana-mana pihak tidak mencetuskan gelombang politik dalam situasi rakyat menderita dan menyelesaikan masalah sosial.