Tanah Merah – Tidak seperti kanak-kanak seusia dengannya yang lincah berlari dan petah bercakap, nasib seorang kanak-kanak di Kampung Alor Stor, di sini, amat berbeza kerana hanya mampu terbaring akibat penyakit yang dihidapinya.

Nur Qhayla Rania Mohamad Firdaus, 4, yang menderita penyakit hydrocephalus atau lebihan air di kepala sejak lahir tidak boleh melakukan aktiviti normal seperti kanak-kanak lain kerana mempunyai saiz kepala yang besar.

Biarpun tidak mampu bercakap, namun anak bongsu kepada pasangan Mohamad Firdaus Abdullah dan Che Siti Nor Azreen Che Ishak itu memahami apa yang dituturkan dan akan membuat reaksi dengan gerakan tangan dan senyuman.

Bertambah malang, sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan hampir tiga bulan lalu, keluarga ini buntu mencari pendapatan untuk menampung keperluan anak istimewanya itu yang mencecah hampir RM1,000 sebulan melibatkan kos susu khas, lampin pakai buang, selain perbelanjaan ulang-alik ke hospital.

“Musim PKP ini saya ambil tempahan popia simpul. Susah jugalah musim PKP ini sebab nak gerak pun susah, untuk cari rezeki buat dia, cari susu dia, cari lampin dia dekat RM1,000 sebulan.

“Raya tahun ini pun ala kadar sajalah, sekadar mampu sediakan baju raya untuk dia, kakak dia, bagi dia gembira,” kata Che Siti Nor Azreen.

Walaupun Qhayla menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan, namun ia tidak mencukupi untuk menampung keperluannya selain perlu membayar rumah yang disewa sebanyak RM200 sebulan.

Menurutnya, pada hari biasa, suaminya mengambil upah membuat kerja kampung seperti membersihkan kebun dan menoreh getah dengan pendapatan sekitar RM30 sehari.

Bagaimanapun, sejak PKP dilaksanakan, punca pendapatannya hilang, ditambah dirinya juga tidak bekerja dan hanya sebagai suri rumah sahaja.

Dia tidak boleh meninggalkan Qhayla untuk keluar bekerja kerana Qhayla mudah terkena sawan dan perlu segera dibawa ke hospital yang jaraknya 15 kilometer dari rumah.

Katanya lagi, Qhayla mudah diserang sawan apabila terkejut atau mengalami demam akibat cuaca terlalu sejuk atau panas.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian ke akaun Maybank bernombor 503051529082 atas nama Che Siti Nor Azreen Che Ishak atau hubungi 017-943 9037.