KUALA LUMPUR, 1 JUN – Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) menegur Syed Saddiq supaya tidak lagi masuk campur urusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kerana beliau bukan lagi ahli parti tersebut.

EXCO ARMADA Malaysia, Mohd Muzzammil Ismail berkata ARMADA mengutuk sidang media yang dibuat oleh Syed Saddiq semalam dan kesal dengan tindakan bekas ketua sayap parti itu yang didakwa memutarbelitkan fakta berhubung perlembagaan BERSATU.

Beliau berkata, Syed Saddiq juga didakwa  berniat jahat apabila mendakwa kepimpinan sayap pemuda parti itu yang kononnya menyokong tindakan dibuat bekas Menteri Belia dan Sukan itu, namun sebenarnya mereka tidak diajak untuk berbincang terlebih dahulu.

Seramai 30 individu telah membuat kenyataan penafian secara terbuka di laman sosial di mana nama mereka telah dimasukkan dalam senarai nama kenyataan dikeluarkan Syed Saddiq sedangkan mereka tidak dirujuk terlebih dahulu.

“Antara yang membuat penafian ialah Ketua ARMADA Bahagian Iskandar Putri, Muhammad Zulfadhli Mohd Sofian; Ketua ARMADA Bahagian Putrajaya, Hariz Faisal dan Ketua ARMADA Bahagian Segambut, Mohd Safwan Manoga, selain ada juga ketua ARMADA bahagian yang tidak sah turut dimasukkan namanya.

“Sebagai ahli parti yang sudah digugurkan keahliannya, ARMADA memberi amaran buat Syed Saddiq supaya tidak lagi mencampuri urusan dalaman parti, ” ujar beliau melalui kenyataan pada hari ini.

Semalam, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar dilaporkan sebagai berkata, ARMADA BERSATU sedia merujuk kepada saluran undang-undang berhubung isu pengguguran keahlian lima pemimpinnya.

Muzzammil berkata, ARMADA akan membuat laporan polis terhadap Syed Saddiq kerana menggunakan nama parti walaupun sudah digugurkan keahliannya.

Beliau berkata, BERSATU ialah milik semua ahli parti dan bukannya kepunyaan individu yang berkepentingan dengan prinsip undang-undang perlu dipatuhi kerana tiada sesiapa yang akan dikecualikan.

“Sudah-sudahlah menunggang suara akar umbi untuk tujuan peribadi. Sebaik-baik keputusan dalam berorganisasi adalah berlandaskan keputusan dari suara majoriti,” kata beliau.