KUALA LUMPUR, 2 JUN – Pakatan Harapan (PH) tidak pernah selesai membincangkan calon Perdana Menteri di kalangan pemimpin mereka pada Mei 2018 sehingga jatuh pada Februari yang lalu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Pakatan Harapan langsung tidak memikirkan masalah rakyat. Mereka hanya  mementingkan diri sendiri dengan selalu merebut jawatan sesama mereka.

Dengan barisan kepimpinan PH yang “hebat” seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Lim Guan Eng dan ramai lagi, sepatutnya memikirkan hala tuju rakyat dan negara, tetapi sebaliknya lain yang berlaku.

“Ketika dalam kerajaan pun mereka membincangkan isu calon Perdana Menteri, siapa selepas Tun Dr. Mahathir, dan selepas kerajaan PH jatuh pun isu calon Perdana Menteri juga jadi topik perbincangan.

“Rakyat dibiar terkontang kanting tanpa hala tuju kehidupan yang lebih jelas, dan kini ketika negara serta dunia berdepan dengan pandemik Covid-19 pun, tidak ada apa yang PH dapat bantu dan sumbangkan kepada kerajaan Perikatan Nasional,” ujar beliau pada hari ini.

Beliau turut mempersoalkan, kewajaran PH membincangkan isu itu ketika rakyat hidup dalam kesusahan, resah menghadapi kehidupan saat kini dan selepas Covid-19 nanti.

Katanya, ramai rakyat hilang punca pendapatan akibat di berhenti kerja sama ada bertaraf tetap mahupun kontrak.

“Tergamakkah kepimpinan PH membincangkan isu calon Perdana Menteri kesembilan ketika nasib ribuan peniaga berada dalam keadaan getir bukan sahaja tidak dapat beroperasi sebagaimana biasa, jualan mereka juga terjejas teruk.

“Ini disebabkan kuasa berbelanja di kalangan rakyat makin terbatas akibat pandemik Covid-19,” ujar beliau.