Datuk Dr Shahruddin Md Salleh meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerjaraya berkuatkuasa hari ini, Khamis 04 Jun 2020

Dalam satu kenyataan medianya, Sharuddin berkata, tindakan ini dibuat sebagai pembetulan kepada tindakannya menyertai Perikatan Nasional sedangkan rakyat memilih beliau sebagai wakil rakyat Pakatan Harapan.

“Dengan rasminya saya umumkan meletak jawatan perkara di atas berkuatkuasa mulai hari ini,” kata Saharuddin dalam kenyataan itu.

Menurut bekas Setiausaha Agong Bersatu dan bekas Setiausaha Politik Tan Sri Muhyiddin itu, beliau telah melakukan ijtihad politik yang kurang tepat iaitu dengan menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya seharusnya meletakan keutamaan dengan membuat pertimbangan bahawa pengundi- pengundi di Parlimen Sri Gading P149 telah memilih parti Pakatan Harapan PH dalam PRU14,

“Sebagai langkah awal bagi saya membetulkan kesilapan ini, maka saya dengan ini meletak jawatan kerana saya dilantik ke jawatan ini oleh YAB Perdana Menteri dari kerajaan Perikatan Nasional PN,” kata Ahli Parlimen Sri Gading itu.

Minggu lalu, berita angin tersebar kononnya Shahruddin dan seorang menteri dilaporkan akan membuat satu sidang media, namun ia tidak menjadi kenyataan.

Namun, Shahruddin membuat satu kenyataan tentang perkara itu meminta orang ramai secara ikhlas menjawab persoalan beliau.

“Cuba saudara berikan jawapan yang seikhlas-ikhlasnya kepada saya. Saya sekarang adalah Ahli Parlimen Sri Gading.

“Adakah PN atau PH yang akan memberikan laluan mudah untuk calon ahli Bersatu bertanding di Parlimen Sri Gading dalam PRU-15 nanti?

“PN atau PH?

“Itu juga adalah jawapan kepada satu solan paling pokok. Lebih selamatkah Bersatu dalam PN atau dalam PH? Saudara jawab!!” tulis Timbalan Menteri Kerjaraya itu.

Dr Shahruddin sebelum ini pernah menulis, “Saya ‘budak’ Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam politik.”

Beliau menjadi Setiausaha Politik kepada Muhyiddin semasa beliau Timbalan Perdana Menteri dahulu.

Beliau juga adalah bekas Setiausaha Agung (SUA) Parti Bersatu yang pertama.

Beliau melepaskan jawatan tersebut apabila membuat pembedaham jantung dan berehat kira-kira enam bulan termasuk bercuti sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

Tindakan beliau meletakkan jawatan dipercayai memberikan implikasi besar kepada kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.