KUALA LUMPUR, 5 Jun – Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu bahawa negara tidak bersedia untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) pada waktu ini kerana kerajaan sekarang perlu fokus untuk menyelesaikan kemelut politik yang kian memuncak dan ia tidak boleh terganggu.

“Ada orang yang meminta diadakan pilihan raya sekarang, tetapi ada juga yang mengatakan jika pihak pembangkang ada majoriti kerusi parlimen maka kerajaan akan adakan pilihanraya juga.

“Ketika negara tidak boleh mengadakan pilihan raya kerana kita (ahli politik) tidak boleh berkempen dan mengadakan perjumpaan beramai-ramai seperti dulu,” ujar beliau.

Menurut beliau, selain penularan pandemik COVID-19, kerajaan perlu berjimat cermat dalam pembelanjaan wang negara.

“Kerajaan perlukan kewangan untuk mengekang penularan pandemik COVID-19. Jadi perhatian itu tidak boleh terganggu,” ujar beliau dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana pada hari ini.

Pada masa yang sama,  Tun Dr Mahathir turut memuji tindakan kerajaan dalam menentang pandemik itu sehingga kini.

“Kerajaan mengendali masalah COVID-19 ini dengan bagus,” ujar beliau lagi.

Bagaimanapun, kejayaan itu ekoran tiada campur tangan daripada ahli politik dan menyerahkan sepenuhnya kepada profesional untuk menangani penularan itu.