JOHOR, 3 JUN – Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (PAS Johor) menyokong serta mengambil serius amaran Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor menerusi titah Baginda bahawa pembubaran DUN akan dibuat jika perebutan kuasa masih berlaku di negeri ini.

Menurut Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Bin Husin, PAS Johor yakin bahawa titah DYMM Sultan Johor telah mengambil kira kepentingan rakyat yang perlu diberikan keutamaan berbanding kepentingan politik yang diperjuangkan oleh sesetengah pihak di Johor.

“Sekarang bukan masanya untuk pemimpin bertegang urat dan bertikam lidah untuk mencari pengaruh politik atau kepentingan peribadi” titah Baginda semasa merasmikan sidang DUN Johor Yang Ke-14 pada 14 Mei lalu .

Sehubungan itu, PAS Johor turut menzahirkan sokongan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Johor sedia ada agar berjalan dengan baik dan lancar demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

Tambahan lagi, PAS Johor menyelar kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh PH Johor lewat petang tadi yang dilihat cuba mencabar titah Sultan Johor yang masih lagi dilihat tidak akur dengan amaran tersebut.

“PAS Johor dalam masa yang sama, sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlaku pembubaran DUN dan berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) sekiranya DUN Johor dibubarkan” ujar Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Johor menerusi Kenyataan Media hari ini.