PUTRAJAYA, 5 JUN – Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan yang beliau tidak mempunyai masalah dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, beliau tidak tahu sekiranya Anwar yang mempunyai masalah terhadapnya.

“Saya tiada mempunyai apa-apa masalah dengan Anwar. Mungkin dia ada masalah dengan saya.  Itu kamu kena tanya dia (Anwar)” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana pada hari ini.

Beliau berkata sedemikian apabila disoal berkenan hubungannya dengan Ketua Pembangkang tersebut apabila beliau kerap tidak hadir dalam perjumpaan yang dihadiri Anwar Ibrahim.

Pakatan Harapan dalam hantaran di laman Facebooknya semalam memuat naik beberapa keping gambar perjumpaan dengan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Anthony Loke dengan kapsyen gambar ‘Insya Allah perubahan besar dalam masa terdekat’.

Hantaran tersebut turut dikongsi di Facebook Anwar Ibrahim.

Sejak kerajaan Pakatan Harapan hilang tompok pemerintahan, sehingga kini kedua – dua pemimpin tersebut masih belum kelihatan bersua muka.

Anwar yang merupakan ketua pembangkang  juga tidak hadir dalam sidang media yang dipengerusikan Dr Mahathir selepas pembukaan Sidang Dewan Rakyat dengan alasan ia bukanlah anjuran Pakatan Harapan.