SHAH ALAM, 6 JUN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, PAS dikatakan telah gagal dalam mentadbir Kelantan, Terengganu dan Kedah. Sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan dalam tempoh terdekat, PAS akan mengalami kekalahan yang besar.

Menurut beliau, PAS telah gagal di dalam mengatasi masalah air bersih, sistem bekalan air, isu pembelian Mercedes, isu kemiskinan dan pembalakan serta gagal membawa masuk pelaburan baharu ke tiga negeri berkenaan.

Faiz yang juga merupakan anak bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor mengatakan bahawa PAS tidak cekap dalam mentadbir tiga negeri berkenaan apabila tidak meletakkan agenda kebajikan rakyat dan kemakmuran negeri sebagai agenda utama pentadbiran.

Pada masa itu, beliau berkata, gabungan PAS dan UMNO melalui Muafakat Nasional masih dalam keadaan rapuh dan tidak mempunyai struktur organisasi yang teratur seperti Pakatan Harapan (PH).

“Mereka juga bertindih kerusi yang sama dan sukar untuk mana-mana parti beralah. Mereka juga tiada dasar politik yang jelas dan masih tiada manifesto. Tiada apa-apa agenda rakyat dan pembangunan negara dibentangkan.

“Muafakat Nasional hanya bergantung kepada sentimen untuk mendapatkan sokongan orang Melayu. Saya yakin orang Melayu semakin sedar bahawa muafakat semata-mata perkauman tidak menguntungkan orang Melayu,” ujar beliau.

Faiz turut berkata, PAS dan UMNO dilihat hanya sibuk dengan permainan politik mereka dan dan menjadikan rakyat sebagai mangsa.

“Sebagai contoh, wang rakyat dibazirkan untuk membayar elaun Kabinet Perikatan Nasional yang besar tetapi rakyat dibiarkan merana, pengangguran semakin meningkat sehingga 610,000 orang dan harga barang yang tinggi tidak diselesaikan secara serius,” kata anak bekas presiden Pas itu lagi.