KUALA LUMPUR, 6 JUN – Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini telah memaklumkan bahawa parti tersebut tidak akan menghantar calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan untuk tidak bertanding telah dicapai dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Menurut beliau, faktor utama keputusan berkenaan adalah disebabkan kekangan yang bakal dihadapi sewaktu tempoh berkempen.

Ia susulan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia disebabkan penularan wabak COVID-19 di negara ini.

“KEADILAN berpandangan SOP yang bakal dikeluarkan akan mendatangkan kesan kepada cara berkempen dan gerak kerja di lapangan.

“Contohnya, larangan lebih dari 20 orang berhimpun untuk ceramah umum perlu diteliti, dan kita juga belum diberitahu prosedur untuk kempen rumah ke rumah, pondok panas serta perkara-perkara lain yang amat penting dan menjadi kelaziman dalam konteks persiapan gerak kerja pilihanraya.

“Maka, mengambil kira perkara-perkara di atas, KEADILAN dan Majlis Presiden Pakatan Harapan telah bersetuju bahawa KEADILAN tidak akan meletakkan calon bagi Pilihanraya Kecil DUN Chini,” ujar beliau.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini telah melaporkan akan memperkenalkan SOP khas bagi urusan pelaksanaan PRK DUN Chini berikutan penularan wabak pandemik COVID-19.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata, antara yang dicadangkan ialah dengan mengehadkan jumlah maksimum pengundi di setiap saluran kepada 400 pengundi berbanding 600 orang sebelum ini.

SPR telah menetapkan tarikh pengundian PRK DUN Chini pada Sabtu, 4 Julai, manakala tarikh penamaan calon ialah pada 20 Jun dan pengundian awal akan diadakan pada 30 Jun.

PRK tersebut diadakan susulan kematian Ahli DUN (ADUN) Chini dalam Parlimen Pekan, Pahang, iaitu Datuk Seri Abu Bakar Harun akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu.