PUTRAJAYA – Pasaran minyak sawit dilihat semakin stabil terutama apabila pengumuman pengecualian 100 peratus duti eksport ke atas minyak sawit mentah (MSM), minyak isirong sawit mentah dan minyak isirong sawit yang diproses diumumkan oleh kerajaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada jumaat lalu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali menyambut baik dan berterima kasih terhadap Perutusan Khas oleh Tan Sri Muhyiddin berkaitan Pelan Pemulihan Ekonomi, ERP Jangka Pendek, mengenai pengecualian duti ke atas minyak sawit yang akan dilaksanakan mulai 1 Julai 2020 hingga 31 Disember 2020.

Beliau juga memaklumkan usaha ini akan membantu meningkatkan lagi nilai eksport minyak sawit ke luar negara, nilai eksport ini sangat penting terutama negara India kerana Kerajaan India tidak lagi melanjutkan sekatan import terhadap minyak sawit yang ditapis,” katanya.

Disamping itu, Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia MPOB, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub juga berkata, langkah itu juga secara langsung membantu pekebun kecil secara amnya dengan hasil keluaran mereka akan lebih cepat diterima kilang.

Peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) mencecah RM2,366.00 pada 1 Jun lalu dan meningkat kepada RM2,379.50 (5 Jun) untuk satu metrik tan boleh memberikan manfaat kepada 492,000 pekebun kecil dan 258,657 pekebun persendirian di seluruh Malaysia.

Kini kerajaan sangat menitik beratkan serta cakna terhadap perusahaan industri sawit memandangkan sawit adalah penyumbang utama hasil komoditi negara dan Malaysia merupakan antara pengeluar utama minyak sawit dunia.