PETALING JAYA, 9 JUN – Pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) telah mengadakan perjumpaan selama tiga jam dan apabila di tanya oleh pihak mereka bertindak ‘kunci mulut’ sebaik keluar dari Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada petang ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad keluar kira-kira jam 6.15 petang disusuli Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu dalam satu kenyataan PH memaklumkan, segala keputusan akan dibuat dalam masa seminggu.

“Pimpinan PH telah mengadakan mesyuarat bersama Dr Mahathir dan Shafie hari ini yang dipengerusikan oleh Anwar.

“Mesyuarat hari ini telah menyaksikan perbincangan secara menyeluruh tentang pendirian setiap parti dan menampakkan kemajuan yang amat positif. Proses memuktamadkan segala keputusan akan dilakukan dalam masa seminggu ini,” menurut kenyataan tersebut

Kenyataan bersama ditandatangani oleh Anwar dari PKR; Mohamad Sabu dari Parti Amanah Negara (Amanah); Lim Guan Eng dari Parti Tindakan Demokratik (DAP); Dr Mahathir dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Datuk Seri Shafie Apdal dari Parti Warisan Sabah (Warisan).

Pertemuan itu untuk memberi kata putus berkenaan usaha PH untuk mengambil alih kerajaan yang kini diterajui Perikatan Nasional.