JOHOR BAHRU – Rakyat Johor hari ini menerima berita gembira bahawa solat fardhu lima waktu dan solat Jumaat dibenarkan mulai Jumaat ini. DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar memperkenan kebenaran solat Jumaat dan solat fardhu lima waktu secara berjemaah tersebut dilaksanakan di semua masjid serta surau di negeri Johor dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi, kebenaran tersebut melibatkan 892 buah masjid serta 1,958 surau di seluruh negeri.

Walaubagaimanapun, kebenaran tersebut masih tertakluk kepada garis panduan serta SOP yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor. Antaranya, jemaah yang terpilih untuk menunaikan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu secara berjemaah perlu membawa sejadah sendiri termasuk mengambil wudhuk di rumah serta memakai topeng muka.

Selain itu, semua aktiviti selain solat Jumaat dan solat fardu lima waktu masih tidak dibenarkan termasuk kuliah, ceramah dan seumpamanya sepanjang tempoh PKPP ini dilaksanakan.

Berkenaan solat Jumaat, jemaah perlu mengisi borang di masjid atau surau Jumaat tempat masing-masing terlebih dahulu sebelum pemilihan dilakukan ahli jawatankuasanya. Tambahan lagi, keutamaan akan diberikan kepada warganegara, lelaki dewasa serta mereka yang sudah akil baligh.

“Bilangan jemaah solat Jumaat serta solat fardhu lima waktu yang dibenarkan di masjid dan surau hanya terhad kepada 40 orang tidak termasuk pegawai masjid dan surau. Kewajiban solat Jumaat gugur ke atas mereka yang tidak terpilih untuk hadir solat Jumaat pada hari berkenaan dan diganti dengan solat Zohor di rumah”.

“Mereka yang dipilih untuk menunaikan solat Jumaat akan dimaklumkan oleh jawatankuasa masjid. Bagi yang tidak dapat menunaikan solat Jumaat pada minggu pertama akan dipilih pada minggu kedua atau minggu seterusnya,” kata Tosrin Jarvanthi dalam Kenyataan Media di Pusat Islam Iskandar hari ini.

Menurutnya lagi, solat Jumaat akan dipantau pihak polis serta Kementerian Kesihatan dan sekiranya melebihi 40 orang, mereka yang tidak terpilih akan diarahkan pulang untuk solat Zohor di rumah.

Rakyat Johor serta pihak pengurusan masjid dan surau negeri Johor diminta bersatu hati mematuhi perintah dan SOP yang ditetapkan serta bersama-sama merafakkan doa supaya negara Malaysia selamat daripada wabak dan bencana.