KUALA LUMPUR, 10 JUN – Ketelusan pimpinan YB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mentadbir negara telah berjaya membuktikan kebersamaan antara kerajaan dengan rakyat walaupun dalam tempoh masa yang amat singkat iaitu 100 hari, ujar Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) Dato’ Dr. Khairuddin Aman Razali.

Menerusi Ruang Bicara bertajuk ‘100 Hari Pentadbiran Tan Sri Muhyiddin’ terbitan Bernama TV malam semalam, Menteri KPPK, Dato’ Dr. Khairuddin Aman Razali menzahirkan keyakinan beliau terhadap Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan oleh YB Perdana Menteri bahawa ia akan melonjakkan perniagaan seterusnya merangsang kestabilan ekonomi negara.

Menurutnya, apa yang rakyat inginkan pada hari ini adalah kehidupan yang tenang, aman, selamat, bahagia dan cukup makan.

Mengulas lanjut, sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakkan PKP pada bulan Mac yang lalu, kerajaan telah mengumumkan pakej PRIHATIN bernilai RM250 billion bagi maksud membantu rakyat yang menghadapi kesan pandemik COVID-19 khususnya dari sudut ekonomi. Kemudian disusuli dengan pengenalan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN Tambahan) bernilai RM10 bilion yang diumumkan pada 6 April yang bertujuan membantu meringankan beban kewangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Seterusnya pada 5 Jun yang lalu, kerajaan telah memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bernilai RM35 bilion dengan 40 inisiatif bagi maksud membantu rakyat untuk sama-sama menjana semula ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Dato’ Dr. Khairuddin Aman Razali berpendapat bahawa konsep kerajaan memberikan dana kepada rakyat adalah supaya mereka ada wang tunai di tangan untuk berbelanja, dan akhirnya ekonomi boleh kembali pulih.

“Itulah yang rakyat mahukan di mana-mana negara, dan itulah yang apa kerajaan sedang bagi, iaitu menerusi jaminan keselamatan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac,” tegas beliau.

Menteri KPPK juga menyatakan bahawa terma seperti “Makcik Kiah” serta beberapa terma lain yang digunakan YB Perdana Menteri sebagai analog dalam Pakej Rangsangan Ekonomi menunjukkan jiwa kerakyataan kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin.

Turut diundang menyuarakan pandangan, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha berpendapat bahawa PENJANA boleh menjadi pemangkin kepada anak muda di Malaysia untuk menerokai bidang baharu seperti ekonomi gig.

“Orang kata COVID-19 merupakan game-changer (pembawa perubahan) yang dilihat utilise yakni mempercepatkan anak muda menggunakan Internet berbanding sebelum ini dimana kebanyakan belia menggunakan Internet hanya untuk berkomunikasi tanpa meneroka bidang perniagaan mahupun menggunakannya untuk menambahkan pendapatan”, katanya dalam program yang sama.