SHAH ALAM, 15 JUN – Pas menolak pelantikan Eric Paulsen sebagai wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) bagi penggal 2019-2021.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, Eric tidak layak untuk mewakili Malaysia untuk bercakap mengenai hak asasi manusia kerana sering menghina agama Islam.

“Apa motif sebenar Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah untuk melantik Eric?

“Umum mengetahui, Pas dan banyak NGO telah membantah ICERD. ICERD adalah salah satu konvensyen antarabangsa yang mahu diratifikasi oleh Menteri Luar walaupun ditolak sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Saifuddin memberitahu, pemilihan Eric telah dibuat menerusi proses pemilihan oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan secara khusus untuk meneliti dan menilai kesemua calon yang senarai pendek.

Nasrudin berkata, Saifuddin sekali lagi sengaja membuat provokasi dengan melantik individu yang biadab dan menghina Islam bagi mewakili negara untuk bercakap mengenai hak asasi manusia di Malaysia.

Justeru beliau meminta orang Islam untuk bangkit dan membantah pelantikan Eric dan menggesa Saifuddin menarik balik pelantikan tersebut.

“Apa yang membimbangkan rakyat adalah segelintir menteri cuba membawa doktrin liberal dan anti Islam sebagai tokoh negara.

“Walhal, Malaysia mempunyai sendi utama yang berteraskan Islam, Melayu dan Raja Berperlembagaan,” ujar beliau.