JITRA, KEDAH – Sebanyak 54 pengusaha kenaf hari ini menerima inisiatif sebanyak RM 47,950.00 secara keseluruhan dengan anggaran keluasan tanaman sekitar 95.5 hektar.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, diiringi Timb. Menteri KPPK, YB Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng menyerahkan sumbangan tersebut di dalam Majlis Penyampaian Bantuan Kenaf 2020 di sini. Turut menerima bantuan, beberapa pengusaha kenaf yang terlibat berjumlah RM 6000.00 keseluruhannya.

Menurut Menteri, bantuan tersebut merupakan inisiatif kerajaan membantu pengusaha bagi menangani impak kejatuhan harga akibat pandemic Covid-19.

Selain menyampaikan sumbangan, Menteri KPPK, Dato’ Dr. Khairuddin Aman Razali bersama Timb. Menteri sempat melawat Pusat Pemprosesan Benih Kenaf bagi melihat sendiri proses benih dihasilkan.

Menurut Menteri lagi, KPPK juga memperuntukkan hampir RM1 juta bantuan Prihatin bagi membantu 1,357 penanam kenaf di seluruh negara. Jumlah tersebut melibatkan penanam yang mengusahakan tanaman seluas 1,937.36 hektar.

“Peruntukan yang disalurkan melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) itu diberikan dalam bentuk input pertanian pada kadar RM500 bagi setiap hektar tanaman,” katanya kepada sidang media sempena lawatannya ke LKTN di sini hari ini.

Beliau juga menyatakan hasrat kerajaan untuk menambah lagi bilangan pengusaha kenaf serta akan melatih pengusaha-pengusaha baharu melalui program-program inisiatif kerajaan.