Ladang Begia, Jeniang, 15 Jun – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Dato’ Dr. Khairuddin Aman Razali hari ini menghadiri Majlis Penyampaian Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

Insentif Pengeluaran Getah (IPG) diaktifkan sekiranya harga purata bulanan SMR 20 FOB berada diparas RM6.10 sekilogram manakala harga di peringkat ladang berada pada paras RM2.50 sekilogram ke bawah.

Turut hadir bersama, YB Ustaz Haji Mohd Isa Shafie, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Anak Mongin, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, YB Azman Nasruddin, Ahli Parlimen Sik, YB Ahmad Tarmizi Sulaiman, Pengerusi LGM Properties Corporation, Muhammad Ismi Haji Mat Taib serta Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia, Dato’ Dr Zairossani Mohd Nor.

Selain upacara penyampaian bantuan dan insentif kepada pekebun kecil, turut diadakan pembentangan objektif dan halatuju serta laporan kemajuan dan hasil getah Ladang Begia.

Dalam pada itu, majlis turut diserikan dengan slot beramah mesra dan bersuai kenal dengan pengusaha dan penoreh getah Ladang Begia. Antara lain, bantuan beranggaran RM 6,000 telah diagihkan kepada 20 pekebun kecil di dalam majlis penyampaian insentif tersebut.

Menurut Menteri, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, insentif ini bertujuan meringankan beban ekonomi pekebun kecil yang terkesan akibat pandemic Covid-19. Beliau juga berharap Ladang Begia akan terus maju membangun serta dapat menjana ekonomi penduduk sekitar.

Dato’ Dr. Khairuddin berkata demikian di Majlis Penyampaian Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada para pekebun kecil yang berlangsung di Ladang Begia, Jeniang di sini, hari ini.

Secara keseluruhannya, tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) di negeri Kedah sehingga 30 April 2020 adalah berjumlah RM6.5 juta.