PUTRAJAYA, 17 JUN – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KMM) semalam telah menarik balik pelantikan Eric Paulsen sebagai Ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM).

Perkara tersebut telah disahkan oleh Unit Komunikasi Korporat KMM dan memaklumkan keputusan tersebut tidak akan menjejaskan fungsi MPKM yang ditubuhkan pada 9 Jun lalu.

“MPKM akan terus berperanan membincang dan menasihati kementerian dalam pendekatan dan dasar bagi isu komunikasi dan multimedia selaras dengan matlamat kementerian,” kata KMM dalam satu kenyataan media semalam.

Pelantikan Eric Paulsen sebagai Ahli MPKM telah mencetuskan bantahan daripada pemimpin UMNO dan PAS, dua parti dominan dalam Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa peguam itu sebelum ini lantang menghina agama dan institusi Islam menerusi laman sosial.

Sementara itu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Ustaz Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, penarikan ini mengambarkan bahawa kerajaan mendengar pandangan rakyat.

“Konsep amar makruf nahi mungkar ini saling membetulkan dan saling menasihati, ada kesilapan kita tegur ada secara terbuka atau secara belakang tadbir. Yang penting apa yang berlaku, kerajaan sekarang memberi respons kepada kehendak rakyat.” Ujar beliau.