KANGAR, 17 JUN – Pilihan Raya Umum ke-15 dijangka akan berlaku bila-bila masa apabila diputuskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Jawatankuasa PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, berkata PAS telah  bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk penubuhan Kerajaan Pusat baharu.

“Jika kita rasa bahawa kita sudah berjaya mengambil hati rakyat, jadi ia adalah masa sesuai untuk kita mendapat kerajaan baharu melalui pilihan raya bagi menentukan mandat.

“Terpulang kepada Tan Sri Muhyiddin sebagai pemimpin untuk menentukan bila dan masa yang sesuai bagi membubarkan Parlimen.

“Kami di peringkat menteri (ketika ini) bekerja sebaik mungkin seolah-olah esok adalah pilihan raya,” ujar beliau ketika ditemui di sini, petang semalam.

Khairuddin ditemui pemberita sewaktu mengunjungi Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin di kediaman beliau di Sanglang.

Di samping itu, Hashim memaklumkan PAS pernah meminta diadakan PRU-15 ketika berlaku krisis pelantikan Perdana Menteri membabitkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang meletak jawatan secara mengejut Februari lalu.