KUALA LUMPUR, 19 JUN – PKR telah menolak cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri bagi mewakili kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Perkara ini telah diputuskan dalam mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bersama Ahli Parlimen PKR, yang berlangsung pada hari ini.

Dalam satu kenyataan dibuat oleh parti itu sebentar tadi, PKR kekal dengan pendirian persetujuan bersama yang dicapai oleh PH untuk mencalonkan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“PKR tetap terbuka untuk berbincang dengan semua pihak termasuk Dr Mahathir demi usaha menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya.

“Bagaimanapun, parti memutuskan untuk tidak menyokong cadangan mencalonkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, dan kekal dengan konsensus PH mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri,” ujarnya.