Putrajaya, 19 Jun – Negara India menzahirkan hasrat untuk memohon bantuan kepakaran teknologi sawit negara ini untuk diaplikasi di negara tersebut khususnya di negeri Telengana, India. Ia merangkumi aktiviti pengurusan tanaman, pemprosesan minyak sawit serta ekosistem industri tersebut.

Mengulas lanjut, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali menyatakan bahawa kerajaan Malaysia bersedia untuk bekerjasama khususnya bagi tujuan pemindahan teknologi dalam bidang berkaitan yang akan dikenalpasti dan diperhalusi pada peringkat pegawai. Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mengadakan lawatan teknikal bagi mengukuhkan kerjasama seperti mana yang dihasratkan selepas wabak COVID-19 berakhir.

Menurut Menteri, India merupakan pengguna minyak sawit terbesar dunia yang memerlukan 25 juta tan minyak sayuran dan lelemak untuk kegunaan domestik setahun. Dengan jumlah tersebut, kerajaan negeri Telengana, India berhasrat mengimport minyak sawit serta hasil komoditi dari negara ini.

Sebagai cadangan balas, KPPK telah menyampaikan hasrat dan harapan supaya India melalui Telangana dapat mempromosikan minyak sawit negara ini secara lebih meluas sebagai salah satu minyak sayuran yang digunakan dalam makanan di India. Peluang ini akan digunakan oleh Malaysia untuk meningkatkan pasaran minyak sawit Malaysia ke India dengan lebih meluas melalui promosi dan kerjasama yang boleh dilaksanakan bersama kerajaan negeri Telengana.

Selain industri sawit, pihak kerajaan negeri Telengana juga berminat untuk memulakan penanaman buluh memandangkan Malaysia mempunyai pelbagai jenis buluh berkualiti terbaik dunia.

Tambahan lagi, pihak kementerian juga memaklumkan keinginan untuk mendapatkan bekalan kayu cendana yang merupakan kayu bermutu tinggi di India bagi pembuatan minyak wangi.

KPPK amat mengalu-alukan hasrat tersebut dan bersedia untuk bekerjasama dalam berkongsi kepakaran selain teknologi untuk kepentingan bersama seterusnya beriltizam untuk memperluaskan kerjasama dengan pelbagai pihak selain India dalam usaha memperkasa industri komoditi Malaysia.

Menteri, Dato Dr. Khairuddin Aman Razali, menyatakan seperti berikut menerusi Kenyataan Media sejurus selepas persidangan antara KPPK dengan Menteri Hal Ehwal Pertanian, Pengguna dan Sivil Telengana, Singireddy Niranjan Reddy yang diadakan semalam.