JELI, 21 JUN – Industri penanaman karas di Malaysia terus berkembang pesat dengan pertambahan ladang di negara ini. Sehingga Disember 2019, sebanyak 217 syarikat dan individu telah berdaftar dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) sebagai penanam karas dengan keluasan 2,398 hektar dengan jumlah pokok sebanyak 2.3 juta.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali telah menyaksikan sendiri penglibatan penduduk luar bandar dan masyarakat di dalam sektor industri gaharu dari peringkat perladangan, proses inokulasi pada pokok karas, pemprosesan gaharu (blok dan serpih), pemprosesan PMG dan pemasaran produk di pasaran tempatan serta antarabangsa yang dilaksanakan oleh syarikat Oud Agarwood Sdn Bhd di Kuala Balah, Jeli, Kelantan.

Pihak Kementerian melaporkan nilai eksport produk gaharu negara pada tahun 2019 berjumlah RM8.8 juta melibatkan produk seperti kayu serpai dan blok gaharu (RM7.4 juta), PMG (RM0.96 juta) dan kepingan gaharu (RM0.44 juta). Manakala, sebanyak 3,742.40 kg PMG telah dieskport pada tahun yang sama.

Sepanjang tahun 2018 dan 2019, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui MTIB telah menetapkan kuota eksport produk karas dan gaharu adalah sebanyak 150,000 kilogram (kg).

“Kementerian melalui MTIB akan terus menyokong dan membangunkan industri karas dan gaharu agar ia terus berkembang melalui kerjasama persatuan, pemain industri dan agensi kerajaan yang lain,” ujar beliau.

Beliau turut berkata, MTIB telah memohon peruntukan bagi projek pembangunan insentif usahawan dan pekebun kecil gaharu di bawah Rancangan Malaysia ke-12 bagi menyokong industri itu.