KUALA NERANG, 21 JUN – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mempunyai nama calon Perdana Menteri untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, hanya satu nama sahaja yang telah dicalonkan sebagai Perdana Menteri dan tidak mempunyai senarai calon lain.

Namun beliau tidak berhasrat mendedahkan nama berkenaan ketika ini sebaliknya ia akan diumumkan apabila tiba waktunya nanti.

“Saya ingat semua sudah tahu siapa yang jadi calon Perdana Menteri bagi PN. Sebelah sana, (pembangkang) sahaja yang kelam kabut.

“Sebahagian nak Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) jadi Perdana Menteri, sebahagian lagi nak Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” ujar beliau ketika sidang media Bantuan Prihatin Elektrik di Pejabat UMNO Padang Terap di sini semalam.

Sebelum ini, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap turut menyokong kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar diadakan PRU15 dalam masa terdekat.

Mahdzir berkata, dalam keadaan bilangan kerusi PN yang tidak kukuh ketika ini mendorong pilihan raya diadakan supaya rakyat boleh membuat keputusan setelah mandat dikembalikan kepada mereka.

“Saya melihat PN ada peluang besar untuk menang dalam PRU15 memandangkan gabungan itu mempunyai kerjasama yang kukuh,” ujar beliau.