KUALA LUMPUR, 23 JUN – Tun Dr Mahathir Mohamad memutuskan hanya akan  berkerjasama dengan Amanah dan DAP dan tidak lagi menganggotai Pakatan Harapan (PH) Plus.

Bilau membuat keputusan itu selepas Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menolak cadangan untuk mencalonkan Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri semula.

Tun Dr Mahathir turut mengulas sama ada beliau akan terus bekerjasama dengan Anwar selepas PKR bertegas menolak beliau sebagai calon perdana menteri.

“Saya tidak akan bekerjasama dengan Anwar Ibrahim kerana dia tidak mahu bekerja dengan saya. Saya perlu cari cara lain untuk jadi Perdana Menteri. Mungkin ada cara lain,” ujar Tun Dr Mahathir dalam satu temu bual dalam talian dengan Sin Chew Daily pada hari ini.

Pencalonan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sekiranya PH Plus berjaya membentuk kerajaan kembali turut mendapat sokongan oleh Warisan dan ahli parlimen Bersatu yang masih menyokong beliau.

Tun Dr Mahathir memberitahu beliau akan terus bekerjasama dengan Amanah dan DAP kerana dua parti ini menyedari keperluan mempunyai parti teras Melayu.

Dr Mahathir berkata beliau sanggup keluar daripada PH tetapi akan terus bersama DAP dan Amanah.

“Mereka sudah lama menjadi parti pembangkang. Mereka cuba menang pada 2008 dan 2013 sebelum saya menyertai mereka, tetapi mereka kalah dan tidak boleh menang. Jadi, pada PRU14 saya sertai mereka.

“Mereka tahu mereka perlukan undi Melayu untuk menang, dan mereka fikir saya boleh bawa undi Melayu kerana parti utama ialah parti Melayu dan yang lain parti pelbagai kaum. Melayu tidak akan sokong parti majmuk,” ujar beliau.

PH kembali bergolak ekoran keputusan PKR bertegas mahu Anwar menjadi calon perdana menteri manakala DAP dan Amanah pula menyokong Tun Dr Mahathir.

DAP dan Amanah telah memberi alasan bahawa hanya Tun Dr Mahathir mampu menarik sokongan ahli parlimen lain manakala Anwar sebelum ini telah gagal mendapatkannya biarpun telah diberikan masa yang secukupnya.