SHAH ALAM, 23 JUN – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terbuka untuk berbincang berkenaan isu kedudukan Tun Dr Mahathir Mohamad jika bekas Perdana Menteri itu bersedia untuk menjadi menteri kanan atau jawatan yang sama taraf dengannya.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Dr Mahathir tidak patut diangkat semula untuk menjadi sebagai Perdana Menteri buat kali ketiga.

“Mereka bercakap mengenai menteri kanan (atau) menteri mentor macam Lee Kuan Yew. Saya terbuka untuk perbincangan mengenai hal itu,” ujar beliau dalam sesi temu bual dengan Melissa Goh, Ketua Biro Channel News Asia (CNA) Malaysia.

Dalam temu ramah itu, Anwar juga disoal mengenai cadangan agar Dr Mahathir dipilih semula sebagai calon Perdana Menteri pembangkang untuk menarik sokongan mencukupi bagi membolehkan Pakatan Harapan (PH) kembali menjadi kerajaan.

Anwar berkata, jika usul itu diterima, PH akan menghabiskan masa selama enam bulan sebagai kerajaan tanpa dapat memberikan perhatian kepada usaha reformasi sebaliknya berhujah mengenai pelbagai isu seperti tarikh peralihan kuasa dan kemungkinan rombakan Kabinet.

Menurut beliau, kerajaan baharu mesti komited sepenuhnya kepada pembaharuan struktur.

“Pada pandangan saya beliau (Dr Mahathir) sudah menjadi Perdana Menteri dua kali. Sudah masanya untuk kita melangkah ke depan.

“Saya tegaskan bahawa ia bukan isu personaliti. Ia adalah mengenai peluang untuk permulaan baru untuk negara ini. Malaysia berhak mendapat yang lebih baik. (Ada) begitu banyak kekecewaan politik sekarang,” ujar beliau.