PETALING JAYA, 29 JUN – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali menggalakkan rakyat malaysia untuk bekerja dalam sektor perladangan, termasuk kelapa sawit yang menawarkan pendapatan sehingga RM3,000 sebulan dan manfaat lain.

Menurut beliau, keutamaan kerajaan ketika ini ialah untuk menarik minat rakyat tempatan untuk bekerja di sektor perladangan kerana negara sekarang mengalami kekurangan sebanyak 30,000 tenaga kerja dalam pelbagai pekerjaan di sektor perladangan.

Ujar beliau, ia selaras dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing selepas penularan wabak Covid-19 yang menyaksikan ramai rakyat hilang pekerjaan.

“Dalam situasi Covid-19 yang menyebabkan ramai pekerja terpaksa diberhentikan dan banyak operasi syarikat ditutup, sektor perladangan komoditi membuka pintu seluas-luasnya kepada rakyat tempatan.

“Kerja sebagai pengait buah sawit di ladang besar memberi peluang pendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan dengan disediakan kemudahan kediaman keluarga yang baik,” ujar beliau.

Khairuddin berkata, kementeriannya akan mengutamakan pekerja tempatan berbanding warga asing dalam usaha menangani isu buruh paksa yang dijadikan bahan kempen antarabangsa bagi memburukkan sektor sawit negara.

“Isu kontrak melibatkan warga asing antara isu yang dikaitkan dengan terma ‘buruh paksa’ oleh mereka. Justeru, polisi meramaikan pekerja tempatan berbanding pekerja asing adalah polisi terbaik bagi melindungi kepentingan sawit Malaysia.”

Katanya, kerajaan sudah menubuhkan satu jawatankuasa khas Kabinet untuk membincangkan isu berkenaan pekerja asing.

“Setakat ini, kita kekal pada dasar baru yang telah diumumkan ke arah mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing di ladang dan meningkatkan penggunaan tenaga kerja tempatan.”

Beliau mengulas gesaan Persatuan Pemilik Ladang Malaysia untuk kerajaan membenarkan pekerja asing kembali kerana industri kelapa sawit akan berdepan kerosakan teruk jika tidak dikecualikan daripada pembekuan pengambilan pekerja.

Kumpulan itu berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan kelangsungan hidup dan kelestarian sektor itu dengan membenarkan pemilik ladang yang tidak dapat merekrut orang tempatan supaya mengambil pekerja asing kerana sektor itu berdepan masalah kekurangan buruh kronik yang semakin teruk.

Ribuan pekerja meninggalkan sektor itu untuk pulang ke kampung ketika sempadan ditutup akibat penularan Covid-19, menyebabkan tekanan dihadapi industri itu bertambah kerana 2 hingga 3% pekerja asing pulang setiap tahun.