KOTA BHARU, 1 JULAI – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta supaya melupakan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga habis penggal ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ia kerana Ahli Parlimen Port Dickson itu dilihat tidak mempunyai masa depan yang cerah sekiranya terus bersama PH.

Menurut beliau, PH telah gagal untuk melaksanakan apa yang perlu dilakukan termasuk dalam memberi kata putus untuk mencalonkan nama Perdana Menteri dalam kalangan pakatan itu.

“Nak selesaikan isu siapa bakal jadi Perdana Menteri pun dia tidak boleh, macam mana nak jadi kerajaan. Sebab itu saya kata lebih baik Anwar lupakan PH. Tidak perlu masuk PN tapi beri sokongan kepada Muhyiddin.

“Selepas itu, bila tiba Pilihan Raya Umum (PRU), maka bertandinglah. Kalau dia menang, dia jadilah Perdana Menteri,” ujar beliau kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada hari ini.

Mohd Amar berkata, Anwar dilihat tidak diperlukan lagi dalam PH dan buktinya ialah apabila namanya tidak tersenarai sebagai calon Perdana Menteri.

Beliau berkata, pelbagai alasan Dr Mahathir untuk tidak memberikan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar sebelum ini juga merupakan isyarat yang jelas bahawa anwar tidak diperlukan lagi.

“Kalau Anwar masih dalam PH tapi tetap mahu jadi Perdana Menteri, maka tinggal harapanlah. Seperti filem dulu-dulu ‘Tiada Esok Bagimu’. Harapnya dia dengarlah nasihat saya ini,” ujar beliau.