KUALA LUMPUR, 1 JULAI – Cadangan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu melantik Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri (PM) masih belum benar-benar dipersetujui oleh DAP.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ia perlu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) terlebih dahulu.

Menurut beliau, perkara ini perlu segera diadakan perbincangan menetapkan calon PM itu sebelum sebelum persidangan Parlimen bermula pada 13 Julai ini.

“Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) menegaskan pendirian bahawa kedudukan PH perlu diperkukuhkan dan pada masa yang sama, PH juga perlu bekerjasama dengan semua parti yang komited untuk menentang Perikatan Nasional (PN).

“CEC mengambil maklum bahawa cadangan pencalonan ini adalah bersejarah kerana melibatkan seorang pemimpin dari Malaysia Timur dipertimbangkan buat julung kalinya,” ujar beliau.

Selain itu, DAP menyokong supaya Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohammad Ariff Md Yusof dan Timbalan Speaker, Nga Kor Ming dikekalkan.