KUALA LUMPUR, 2 JULAI – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan berkerjasama dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Kesatuan Eropah (EU) melalui Mekanisme Penyelasaian Pertikaian atau Dispute Settlement Mechanism (DSM) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Menteri KPPK, Dato’ Dr Khairudin Aman Razali berkata, tindakan undang-undang ini dilaksanakan atas dasar asas dan justifikasi serta selaras dengan prinsip amalan perdagangan yang telah ditetapkan oleh WTO.

Menurut beliau, peraturan yang dibuat oleh EU dalam Delegation Regulation di bawah European Union Renewable Energy Directive II (EU RED II) ini telah mewujudkan sekatan yang tidak sepatutnya ke atas usaha kemampanan dan kelestarian yang telah dan sedang dilaksanakan Malaysia.

“Tindakan diskriminasi oleh EU ini akan menyebabkan lebih 3 juta rakyat Malaysia yang terlibat dalam rantaian industri sawit negara menerima impak yang negatif termasuk lebih setengah juta pekebun kecil sawit,” ujar beliau.

Dr Khairudin memaklumkan, pada Disember 2018, EU telah meluluskan EU RED II dan pada Mac 2019 Delegated Regulation iaitu peraturan pelengkap di bawah EU RED II juga telah diluluskan.

Delegated Regulation tersebut menerangkan mengenai ciri-ciri atau metodologi bagi menentukan sama ada sumber dalam pengeluaran biobahan api menyebabkan kadar indirect land use change (ILUC) yang tinggi atau rendah dan kesannya kepada pelepasan gas rumah hijau.

Menurut Dr Khairudin lagi, disebabkan Delegated Regulation tersebut, minyak sawit telah dikategorikan sebagai mempunyai kadar ILUC yang tinggi.

“Oleh itu, jumlah eksport minyak sawit negara ke EU dijangka akan terkesan memandangkan biobahan api dengan kadar ILUC yang tinggi tidak diambil kira dalam pengiraan sasaran tenaga boleh diperbaharui (renewable energy target),” ujar beliau lagi.

Beliau berkata, Delegated Regulation di bawah EU RED II ini dilihat mempunyai kekurangan dari segi ketelusan, kredibiliti saintifik dan terdapat banyak andaian yang dibuat memberikan gambaran yang tidak tepat terhadap amalan kemampanan dan kelestarian yang diamalkan dalam industri sawit negara.

Selain itu katanya, ia dilihat berat sebelah apabila hanya minyak sawit dikategorikan sebagai mempunyai kadar risiko ILUC yang tinggi dalam kalangan minyak sayuran bagi sumber biobahan api.

Untuk makluman, Malaysia juga akan terlibat sebagai pihak ketiga dalam pemfailan kes yang telah dibuat oleh Indonesia.

Penglibatan Malaysia ini adalah sebagai tanda sokongan dan solidariti serta komitmen Malaysia sebagai negara pengeluar sawit untuk bersama Indonesia dalam menangani isu kempen anti-minyak sawit.

“Malaysia akan terus komited dalam mempertahankan kepentingan industri sawit negara yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan sosio- ekonomi negara,” tegas beliau.