SHAH ALAM, 2 JULAI – Rakyat Malaysia sudah muak dengan drama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kedua-dua pemimpin nampak tamak untuk berebut menjadi calon Perdana Menteri bagi pembangkang.

Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, perebutan kuasa dikalangan pemimpin pembangkang masih belum reda, sedangkan rakyat Malaysia hanya ingin tahu, adakah pembangkang mempunyai bilangan kerusi mencukupi atau tidak untuk menuntut jawatan tersebut.

Jika tidak, pembangkang sesungguhnya membuang masa dan sepatutnya memberi tumpuan pada tugas masing-masing selaku wakil pembangkang.

“Rakyat cukup bosan dengan aksi dan gelagat mereka yang tamak dan penuh sandiwara itu. Tempoh Parlimen ke-14 ini cuma tamat pada tahun 2023.

“Dr Mahathir menyuarakan secara terbuka bahawa Anwar tidak popular dalam kalangan rakyat berketurunan Melayu sedangkan sokongan kaum ini penting bagi mana-mana parti untuk menang dalam pilihan raya.

“Parti Keadilan Rakyat (PKR) ialah parti berbilang kaum, sedangkan yang diperlukan adalah seorang pemimpin Melayu. Sekali lagi Tun mendedahkan bahawa Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana tidak disokong orang Melayu,” ujar beliau dalam satu kenyataan kelmarin.

Menurut beliau, walaupun Dr Mahathir berjanji untuk menjadi Perdana Menteri semula bagi tempoh enam bulan, namun Anwar tetap bertegas mahu dicalonkan sebagai Perdana Menteri bagi pihak pembangkang.

Menurutnya, ia jelas seperti diberitahu oleh Dr Mahathir bahawa Anwar langsung tidak mahu bekerjasama dengan beliau dan menjadi sukar untuk pembangkang mengambil alih kerajaan.

“Nampaknya tidak reda-reda lagi sengketa dalam kalangan pimpinan pembangkang ini,” ujar beliau.