SHAH ALAM, 3 JULAI – Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengarahkan Naib Presidennya, Tian Chua untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) atau beliau akan berdepan tindakan tegas.

Menurut laporan berita Malaysian Insight, arahan itu dikeluarkan melalui sepucuk surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bertarikh 29 Jun 2020.

Laporan itu memaklumkan, selain arahan untuk Tian Chua supaya meletak jawatan, surat itu juga memaklumkan keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada 28 Jun lalu yang memutuskan bekas Ahli Parlimen Batu itu turut dikenakan amaran.

Pada Selasa lalu, Tian Chua yang dilantik sebagai Pengerusi MPC oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 26 April tahun lepas, melancarkan Laporan Produktiviti Nasional 2020 bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga bekas Timbalan Presiden PKR.