KUALA LUMPUR, 4 JULAI – Seramai 250 ahli PKR cawangan Ampang, termasuk anggota Jawatankuasa, Wanita dan pemimpin AMK umum keluar dari parti PKR berkuatkuasa serta merta.

Tindakan dibuat keraba mereka telag hilang kepercayaan terhadap Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan parti yang didakwa hanya mementingkan kepentingan individu.

Selain itu mereka turut mendakwa masa depan ahli PKR semakin tidak jelas selepas melihat perjuangan parti tersebut telah terpesong dan kini perjuangan parti hanya menumpukan matlamat kuasa untuk Anwar menjadi Perdana Menteri.

Ini termasuklah tindakan pemecatan dan menggantung keanggotan beberapa ahli PKR yang dilakukan sejak kebelakangan ini.

Mereka menyifatkan tindakan pucuk pimpinan itu bukan sahaja mengecewakan malah meruntuhkan muafakat dan keutuhan PKR yang dibina sejak 1999.

“Selain daripada hilang keyakinan terhadap individu bernama Anwar Ibrahim, kepimpinan Keadilan Cabang Ampang juga kabur mengenai masa depan ahli-ahli dalam parti apabila pemimpin berkredibiliti seperti Zuraida Kamaruddin yang mendapat sokongan majoriti ahli serta terbukti menumpahkan taat dan setia pada parti disingkirkan tanpa alasan munasabah, inikan pula kami yang hanya memimpin di peringkat akar umbi.

“Perjuangan Keadilan tidak lagi seperti dahulu yang memartabatkan prinsip perjuangan reformasi bagi membela seluruh rakyat Malaysia, tetapi kini perjuangan Keadilan hanyalah untuk mendapatkan kuasa semata-mata dan hanya alat bagi memenuhi cita-cita individu bernama Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri,” ujar mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Berikutan itu individu terbabit kini menyatakan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

“Tumpuan kami di sini adalah untuk mengukuhkan kerajaan Perikatan Nasional yang akan sentiasa berdiri teguh menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8 yang dilantik Yang Dipertuan Agong mengikut lunas undang-undang serta ketetapan di dalam Perlembagaan Persekutuan,” tambah mereka.