SHAH ALAM, 4 JULAI – Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli telah dicadangkan untuk mengambil alih jawatan Timbalan Presiden parti itu bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut selepas penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipecat pada Februari lalu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Jasin dan Melaka, Prasanth Kumar Brakasam berkata, cadangan ini merupakan suara dari penyokong dan anggota parti di peringkat akar umbi.

Menurut beliau, sudah tiba masanya untuk parti mengangkat semula Rafizi yang disifatkan sebagai ‘arkitek kemenangan’ Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

“Cadangan ini wajar dipertimbangkan bagi memperkuatkan lagi organisasi parti di semua peringkat.

“Parti memerlukan pemimpin seperti Rafizi Ramli supaya dapat berganding bahu bersama Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan agenda reformasi,” ujar beliau menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Menurut beliau lagi, pada Kongres AMK yang lalu, beliau turut mencadangkan Rafizi dilantik sebagai Menteri Kabinet berikutan sumbangannya kepada parti dan juga PH.

“Dalam keadaan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 boleh dipanggil secara mengejut bila-bila masa dari sekarang maka parti memerlukan arkitek ini bagi mengembalikan semula mandat rakyat kepada Pakatan Harapan,” ujarnya lagi.

Menurutnya, sudah tiba masanya ‘wira tidak didendang’ itu diletakkan di tempat yang sepatutnya sebagai menghargai jasa beliau.

“Pimpinan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) boleh mempertimbangkan cadangan ini dalam mesyuarat MPP akan datang,” ujar beliau.