PETALING JAYA, 4 JULAI – Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar memberitahu tidak mahu campur berkenaan isu ketidaktentuan politik tanah air hari ini, lebih-lebih lagi melibatkan pergolakan dalaman PKR.

Bekas Naib Presiden PKR itu tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai nasib bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang bergelut dengan soal calon Perdana Menteri dalam Pakatan Harapan Plus.

“Isu itu kurang relevan, kerana saya kembali kepada tugasan hakiki kita untuk memperkukuhkan jentera parti.

“Maka yang lain itu biarlah politikus lain melayan masalah sedemikian,” ujar beliau ketika ditemui pemberita di ibu pejabat Keadilan pada hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu lalu yang menggesa ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia untuk menyokong Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri.

Lebih memeranjatkan lagi, Anwar sebagai Presiden PKR diletakkan sebagai calon Timbalan Perdana Menteri I dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula sebagai Timbalan Perdana Menteri II.

Sementara itu, beliau juga diminta mengulas mengenai pengganti Ketua Wanita Keadilan selepas penyandangnya, Haniza Talha dipecat 29 Jun lalu, Nurul Izzah berkata, isu kekosongan itu tidak berbangkit.

“Kita sebenarnya sudah ada hierarki dan struktur dan Alhamdulillah hari ini fokus saya memang untuk meraikan Fadhlina Siddiq yang sudah lama bergerak dalam dunia aktivis.

“Malah ramai lagi (wanita muda) yang bersama dengan Keadilan, di kala kita menghadapi pelbagai cabaran, inilah pengubat hati.

“Pada saya kita nak Keadilan itu kalis masa depan, dia bukan soal menang pilihan raya semata-mata bagi memastikan parti mampu, kuat, kukuh dan menawarkan penyelesaian buat masalah sosio ekonomi rakyat,” ujar beliau lagi.