KUALA LUMPUR, 7 JULAI – Perkembangan industri sawit di Malaysia telah menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih tiga juta rakyat termasuk lebih 490,000 pekebun kecil sawit. Penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan teknologi yang diterajui oleh MPOB telah menyumbang kepada pembangunan industri sawit negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi Menteri Perusahaan, YB Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin berkata, Keluasan tanaman sawit yang mencecah hampir 6 juta hektar telah menghasilkan hampir 20 juta tan minyak sawit mentah setahun sekaligus menjana pendapatan eksport negara sebanyak RM64.45 billion pada tahun 2019.

Menurut Beliau, minyak sawit Malaysia telah dieksport ke lebih 160 buah negara untuk sektor pembuatan produk makanan dan juga bukan makanan. Minyak sawit juga mempunyai kelebihan berbanding minyak sayuran lain dari segi kos yang rendah, harga yang kompetitif,
produk yang berkualiti dan berkhasiat, selain kaya dengan nilai pemakanan dan mempunyai pelbagai guna.

“Penularan wabak COVID-19 telah memberi kesan kepada aktiviti perdagangan minyak sawit negara. Menyedari akan hakikat dan situasi yang begitu mencabar, Kerajaan telah memberi kelonggaran kepada penggiat industri sawit untuk beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kerajaan juga telah mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dimana objektif utama pelan ini adalah untuk memastikan keadaan ekonomi negara dapat dipulihkan,” ujar beliau.

Beliau Berkata, Kerajaan juga telah memberikan pengecualian 100 peratus duti eksport minyak sawit mentah sehingga Disember 2020. Pengecualian ini secara langsung dapat merangsang aktiviti eksport dan menurunkan paras stok semasa minyak sawit negara.