KUALA LUMPUR, 7 JULAI – Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi sedang mengatur dan mengambil beberapa langkah strategik bagi memastikan kedudukan industri sawit negara sebagai penyumbang utama ekonomi negara termasuk mengukuhkan lagi hubungan diplomatik dengan negara pengimport utama minyak sawit negara terutamanya negara India.

Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin berkata, Malaysia akan cuba menjalinkan hubungan kerjasama dengan negara India dan mewujudkan situasi menang-menang (win-win situation) bagi kedua-dua belah pihak. Pada masa yang sama, Kementerian juga akan menumpukan usaha untuk meneroka pasaran baru seperti di rantau Timur Tengah dan benua Afrika selain mengukuhkan pasaran sedia ada seperti di Eropah dan China.

Menurut Beliau, Kementerian dalam masa yang sama sedang merangka dasar dan strategi baru di bawah Rancangan Malaysia Keduabelas (RMK-12) yang akan bermula pada tahun 2021 sehingga 2025. Ini bagi memastikan industri sawit negara untuk terus kekal relevan dan berdaya saing dalam tempoh 5 tahun akan datang.

Beliau memaklumkan, MPOB juga telah melancarkan sebanyak 667 teknologi dan 184 perkhidmatan untuk dikomersialkan. Inovasi teknologi baru yang ditawarkan oleh MPOB ini adalah berpotensi untuk dikomersialkan bagi meningkatkan produktiviti dengan kos yang rendah dan seterusnya mendatangkan pulangan pelaburan yang lebih baik.

“Pengkomersialan teknologi sawit boleh memberi peluang perniagaan yang luas bukan sahaja di dalam negara malah di luar negara. Sejajar dengan usaha Kerajaan dalam pemulihan ekonomi pasca COVID-19, Kementerian melalui MPOB turut memberi tumpuan pada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) supaya dapat menjana pendapatan dalam sektor komoditi,” ujar beliau.

Beliau Berkata, MPOB juga akan memberi khidmat nasihat teknikal dan perundingan untuk membangunkan produk termasuk penggunaan fasiliti penyelidikan dan loji rintis. Komitmen dari pihak industri untuk mengaplikasi teknologi baharu dan penglibatan usahawan dalam mengkomersialkan teknologi berkaitan sawit akan memberi impak positif kepada daya saing dan kemajuan industri sawit.