BANGI – Kerajaan menerusi MPOB berhasrat memberi fokus kepada produk hiliran sawit serta membantu pekebun-pekebun kecil kelapa sawit dalam Rancangan Malaysia ke-12.

Menurut Timbalan Menteri Peladangan dan Komoditi, Willie Anak Mongin, kebanyakan inovasi produk hiliran sawit dibuat di luar negara sedangkan Malaysia masih menumpukan kepada industri huluan walaupun menjadi antara pengeluar sawit terbesar dunia.

“Kementerian mencadangkan supaya peruntukan diberikan dalam bidang pendidikan dan inovasi supaya mereka boleh belajar serta melakukan penyelidikan bagi mencipta dan menambah baik produk-produk hiliran berasaskan sawit,” katanya kepada sidang media selepas mewakili menteri KPPK merasmikan Webinar Pemindahan Teknologi 2020 di sini hari ini.

Selain inovasi produk hiliran, Kementerian Peladangan dan Komoditi juga komited untuk membantu pekebun-pekebun kecil sawit dengan menawarkan geran kepada pengusaha yang mempunyai ladang bersaiz 2.5 hektar ke bawah. Manakala pekebun yang mempunyai ladang yang lebih luas akan ditawarkan pinjaman.

“Semua ini adalah cadangan kami supaya dimasukkan dalam RMK12. Saya tidak boleh memberitahu nilai geran tersebut kerana perkara ini masih belum dimuktamadkan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga komited untuk memastikan semua ladang sawit mendapat persijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Tegasnya, persijilan itu penting bagi menangani tohmahan daripada pihak yang mendakwa penanaman sawit di Malaysia telah menyebabkan pembalakan, isu alam sekitar serta buruh kanak-kanak.

Turut hadir di dalam majlis, Muhtar Suhaili As-Sarawaki (Pengerusi MPOCC), YB Datuk Osman Sapian (Pengerusi MPOC), YB Willie Mongin (Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi), YB Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Pengerusi MPOB) dan Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir (Ketua Pengarah MPOB).